Wednesday, 10 June 2020

ARTIKEL

IJAZAH SARJANAMUDA KEJURURAWATAN DENGAN KEPUJIAN

TAHUN 3 SEMESTER 1 2019/2020 

GGGE2123 SET 2 TEKNOLOGI & INOVASI DALAM PENDIDIKAN

  

TAJUK:

ARTIKEL STRATEGI PENCEGAHAN COVID-19 


NAMA PELAJAR:

AHMAD NUR IMAN BIN AZHAR  (A165758)

NURUL KHALEDA BINTI MOHD KHAIRUL (A164642)

NUR AINAA BINTI SAZALI (A155043)

NAURAH WAJIHAH BINTI ROSLE ( A159638)

NORSYAFIQAH HIDAYAH BINTI SAIFOL BAHARI (A165464)

PHAN RENNIE (A164490) 


NAMA PENSYARAH:

KOLONEL MOHD JASMY BIN ABD RAHMAN



 STRATEGI PENCEGAHAN COVID-19 


       Sejak kebelakangan ini, seluruh negara telah digemparkan dengan berita penyakit berjangkit, COVID-19 yang semakin menular dan berterusan secara global yang berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Kita dapat menyaksikan peningkatan kes-kes pandemik ini di seluruh negara dan amat membimbangkan ramai pihak terutama rakyat Malaysia. Pada hari ini, Malaysia telah  mencatatkan rekod sebanyak 7,604 kes kumulatif dan sebanyak 115 kes kematian disebabkan oleh COVID-19. Penyakit berjangkit dikategorikan sebagai subset penyakit-penyakit yang boleh ditularkan dan boleh berjangkit dengan orang lain. Ia juga dapat merebak dengan pantas melalui titisan udara dan juga melalui sentuhan fizikal. Hal ini perlu diambil serius kerana ia umpama duri dalam daging yang dapat memusnahkan kita dalam senyap. World Health Organization (WHO) juga telah memberikan kenyataan bahawa kes COVID-19 ini tidak akan ada penawarnya dan masyarakat perlu bersedia untuk hidup dalam norma baharu. Walaubagaimanapun, kita sewajarnya mengenal pasti strategi terbaik untuk memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa akan datang. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat. 

Pada tahun 2018, World Health Organization (WHO) telah mengenal pasti senarai penyakit yang dianggap sebagai keutamaan untuk penyelidikan lebih lanjut yang disebut sebagai R&D Blueprint. Salah satu penyakit ini hanya disebut sebagai ‘penyakit X’. Penyakit misteri yang belum diberi nama itu telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa kemungkinan akan wujud penyakit di masa hadapan, iaitu COVID-19 yang sedang dihadapi oleh semua masyarakat seluruh dunia kini, yang harus disiapkan oleh organisasi penyelidikan dengan sebaik mungkin. R&D Blueprint diaktifkan adalah untuk mempercepat diagnostik, vaksin, dan terapi untuk koronavirus novel ini. Pada 30 Januari 2020, berikutan cadangan Jawatankuasa Kecemasan, Ketua Pengarah WHO menyatakan bahawa wabak tersebut sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC). Pada 11 hingga 12 Februari 2020, para saintis dunia kemudian telah bertemu di Ibu Pejabat Organisasi Kesihatan Dunia di Geneva untuk menilai tahap pengetahuan terkini mengenai virus baru ini, menyetujui persoalan penyelidikan kritikal yang perlu diwajibkan segera, dan mencari jalan untuk mempercepat dan membiayai penyelidikan yang utama bagi mengurangkan wabak ini. Perbincangan tersebut membawa kesepakatan mengenai dua tujuan utama iaitu tujuan pertama adalah mempercepat penyelidikan inovatif untuk membantu membendung penyebaran wabak dan memudahkan perawatan bagi mereka yang terjejas. Seterusnya, tujuan kedua adalah untuk menyokong keutamaan penyelidikan global dengan harapan dapat belajar dari tindak balas pandemik semasa untuk lebih bersedia menghadapi wabak yang tidak dijangka seperti COVID-19 ini.

Selain itu, bagi memastikan COVID-19 tidak berlaku di masa akan datang adalah dengan meneruskan pelaksanaan Program Vaksinasi. Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia. Kebanyakan penyakit berjangkit boleh menyebabkan kecacatan atau kematian, tetapi dengan adanya teknologi, vaksin dicipta bagi mengatasi masalah tersebut. Imunisasi vaksin secara suntikan sama ada melalui otot, di bawah kulit atau melalui mulut adalah cara paling efektif mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit. Ketua Hal Ehwal Saintifik dan Kesihatan Awam, Hal Ehwal Perubatan Global GlaxoSmithKline (GSK Vaksin) di Belgium, Dr Otavio Cintra, berkata, “Vaksin berupaya mencegah penyakit dan pengambilan dalam kelompok masyarakat yang besar membolehkan sesuatu komuniti itu memiliki kehidupan yang sihat”.

Walaupun belum adanya vaksin untuk COVID-19, program vaksinasi berskala besar pada umumnya sangat efektif dalam meminimumkan kadar penyakit. Oleh yang demikian, pelbagai pihak antarabangsa kini berlumba-lumba dalam penghasilan vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19. Penghasilan vaksin yang selamat digunakan manusia biasanya mengambil masa bertahun, namun ahli virologi Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit percaya, proses itu boleh dipercepatkan. Hal ini dapat dilihat apabila beliau berkata bahawa “Kemajuan teknologi membolehkan kita menghasilkan vaksin cubaan (candidate vaccine) dalam masa beberapa minggu sahaja, berbanding kaedah tradisional yang mengambil masa bertahun”. Walaupun vaksin cubaan dapat dihasilkan dalam beberapa minggu sahaja, proses penilaian untuk keselamatan penggunaannya ke atas manusia tetap akan mengambil masa yang lama. Pakar imunologi Datuk Dr Musa Nordin berkata walaupun terdapat keperluan mendesak untuk menghasilkan vaksin COVID-19 dengan segera, harus diingatkan penghasilan vaksin merupakan proses yang membabitkan kos dan risiko tinggi. Beliau juga berkata, “Secara puratanya, ia mengambil masa sepuluh tahun dari tempoh ujian pra-klinikal ke Fasa 1-3 ujian klinikal sebelum keberkesanan dan keselamatan sesuatu vaksin itu dapat dibuktikan. Hanya selepas itu badan-badan penyelia dapat meluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia. Bagaimanapun, pengalaman dalam penghasilan vaksin cubaan bagi MERS dan SARS dapat membantu mempercepatkan penghasilan COVID-19”.

Bagaimanakah vaksin mampu mencegah penularan COVID-19? COVID-19 dikategorikan sebagai keluarga virus Korona. Di mana virus ini telah menyerang dunia sejak 1960. Nama wabak yang besar adalah Common Flu, SARS, dan MERS-Cov. Dalam kes wabak yang baru muncul ini, vaksin sangat membantu bagi mengurangkan COVID-19 daripada terus merebak. Jika dilihat pada tahun 1952, polio epidemik merupakan salah satu penyakit berjangkit yang mengakibatkan 3145 kematian di US, dan akhirnya pada tahun 1955, vaksin polio terhasil. Fakta bahawa polio kini telah dihapuskan 99% adalah contoh yang jelas mengenai kesan vaksinasi dalam mengawal penyebaran penyakit. Oleh itu, tidak mustahil pandemik COVID-19 juga dapat dikawal penyebarannya melalui vaksin di masa akan datang. Kata Oliver Rosenbauer, pegawai komunikasi untuk Inisiatif Pembasmian Polio Global (GPEI), kepada Global Citizen, "Vaksin adalah salah satu intervensi kesihatan yang paling efektif yang pernah dilakukan dengan pelbagai cara dari sudut ekonomi atau kemanusiaan”. Justeru itu, pihak kesihatan awam dan swasta global juga berperanan penting dalam memperkuat sistem kesihatan di negara berpendapatan rendah dan memberikan vaksin serta pengetahuan berkaitan kepentingan vaksin di seluruh dunia. Perkara ini dapat menyumbang untuk berada dalam keadaan yang lebih selamat sekiranya wabak penyakit baru berlaku serta bagi memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Di samping itu, sistem kesihatan juga hendaklah diperkasakan di seluruh dunia  tanpa mengira negara. Apa yang kita lihat sekarang ialah negara bersikap pentingkan diri sendiri, dengan membandingkan kes yang berlaku dengan niat mahu menunjuk-nunjuk bahawa negara mereka adalah lebih hebat, walhal tempat hanyalah salah satu faktor yang mempengaruhi penyebaran penyakit ini. Kita juga dapat melihat bahawa betapa sukarnya sesetengah negara mendapatkan keperluan wajib bagi memberikan kesihatan kepada rakyatnya. Ini dapat dilihat dengan sesetengah hospital kehabisan alatan pelindungan yang diperlukan untuk melindungi doktor dan jururawat yang memerlukannya untuk merawat pesakit, dengan terpaksa membasuh dan memakai semula peralatan itu, atau terus-menerus memakai peralatan yang sama selama mereka bekerja tanpa rehat. Wabak ini menonjolkan bahawa pentingnya sebuah badan kesihatan global, seperti World Health Organization (WHO), dalam membantu negara-negara dalam menangani pandemik ini. Wabak ini juga menunjukkan betapa bahayanya wabak berjangkit dan betapa pentingnya langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mengurangkan penyebaran wabak ini di tempat-tempat awam.  Dengan berlakunya wabak ini, diharapkan bahawa semua negara dapat membuka mata dan mula bersiap-siaga untuk berhadapan wabak yang mungkin berlaku pada masa depan.

Beralih kepada strategi yang terakhir, iaitu, melindungi alam semulajadi. Umum mengetahui, antara punca utama penyebaran koronavirus ini adalah bermula daripada jangkitan yang diperolehi melalui hidupan liar seperti kelawar dan ular. Apabila seseorang itu memakan hidupan liar ini, hasilnya akan menyebabkan berlakunya jangkitan virus daripada haiwan tersebut kepada manusia. Disebabkan perkara kecil ini, sekurang-kurangnya 5.5 juta orang telah terjangkiti dan lebih 350,000 kematian dicatatkan. Oleh itu, bagi mengawal jangkitan virus ini daripada terus tersebar bagai tiada penghujungnya, kita perlulah memasang strategi yang terakhir ini. Persoalannya, bagaimanakah strategi ini mampu membantu kita dalam memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi pada masa akan datang?

Ekosistem dan sistem badan manusia mempunyai fungsi yang hampir sama. Kedua-duanya memerlukan sumber dan persekitaran yang bersih dan sihat bagi memastikan mereka mampu untuk melawan penyakit sekaligus menjadikan populasi mereka terjamin. Tambahan pula, dengan adanya ekosistem yang baik, ianya memberikan pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia seperti sumber air yang bersih, tanah yang subur dan juga sumber makanan yang pelbagai. Namun, aktiviti manusia yang berlaku seperti pembalakan haram dan perlombogan telah menjejaskan ekosistem yang sedia ada. Hal ini menyebabkan hidupan liar terpaksa berkongsi habitat yang tersisa bersama-sama lalu mengalami tekanan dan sakit serta bercenderung untuk lebih rapat dan bersentuhan dengan manusia. Dalam hal yang berlaku sekarang ini, penyakit antara hidupan liar dan manusia akan saling bertukar, seterusnya menjadikan penyakit bawaan haiwan semakin kerap berlaku disebabkan oleh pemusnahan alam. 

Untuk melindungi alam semulajadi, pihak kerajaan dan jabatan yang terlibat perlulah bertegas dalam usaha memelihara habitat hidupan liar ini daripada dicerobohi oleh individu atau kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya perkara ini masih berlaku, bukan hanya habitat hidupan liar makin terganggu dan terancam, malah hal ini juga akan mengakibatkan perubahan iklim yang drastik dan akan mempengaruhi penyebaran penyakit di seluruh dunia. Selain itu juga, lebih daripada 1 juta spesis hidupan liar berisiko pupus akibat daripada kegiatan manusia. Melihat kepada kesan ini, United Nations (UN) akan merangka pelan untuk dijadikan panduan dalam usaha pemuliharaan alam dalam jangka masa 10 tahun, di mana ianya merupakan tempoh kita untuk melambatkan pemanasan global, melindungi ekosistem dan menyelamatkan spesis yang terancam. Meskipun terdapat pelan dan penguatkuasaan undang-undang dalam melindungi alam semulajadi ini, sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita perlulah memainkan peranan kita dengan turut bersama menjaga alam semulajadi di sekeliling kita. Tahap kesedaran mengenai kepentingan alam semulajadi perlulah dipupuk sedari awal lagi dalam diri setiap individu. Maka, dengan wujudnya strategi yang terakhir ini, diharapkan agar kita mampu untuk membendung penyakit ini daripada menyerang negara pada masa akan datang. 

Kesimpulannnya, pandemik COVID-19 yang merebak kepada lebih 200 buah negara dan mengakibatkan lebih 5 juta kes pesakit di seluruh dunia telah mendatangkan pelbagai impak negatif kepada manusia. Penularan wabak ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu, tetapi juga mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat serta mengancam sektor ekonomi negara. Oleh itu, strategi-strategi seperti kajian dan penyelidikan korona virus, pelaksanaan program vaksin, memperkasakan sistem kesihatan serta melindungi alam semula jadi adalah sangat penting untuk mengawal dan mencegah COVID-19 daripada berlaku lagi pada masa akan datang. Strategi-strategi ini harus dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa walaupun situasi COVID-19 telah bertambah baik. Hal ini demikian kerana sejarah kesihatan membuktikan bahawa kebimbangan dan kecemasan akibat jangkitan pandemik sesuatu penyakit tidak akan berpanjangan. Kebimbangan dan kecemasan tersebut akan bertukar menjadi kealpaan dan sikap ambil mudah setelah berjaya membendung faktor jangkitan penyakit dan mengurangkan faktor penyebabnya. Justerunya, sikap ambil mudah ini akan kembali menjejaskan amalan hidup sihat manusia dan menyebabkan program-program pencegahan gagal dilaksanakan secara berkesan.

               

RUJUKAN

Haliza Abdul Rahman. 2020. Amalkan perkara asas cegah Covid-19. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/73737/KHAS/Pendapat/Amalkan-perkara-asas-cegah-Covid-19  [24 Mei 2020].

Kiley, P. 2020. Expert: To prevent pandemics like COVID-19, ‘take care of nature’. Conservation International. https://www.conservation.org/blog/expert-to-prevent-pandemics-like-COVID-19-take-care-of-nature  [23 Mei 2020].

Kurlander, C. 2020. The Deadly Polio Epidemic and Why It Matters for Coronavirus. https://www.discovermagazine.com/health/the-deadly-polio-epidemic-and-why-it-matters-for-coronavirus  [25 Mei 2020].

Lock, H. 2020. How Can We Prevent a Pandemic Like COVID-19 From Happening Again? https://www.globalcitizen.org/en/content/how-prevent-covid-19-pandemic-happening-again/  [26 Mei 2020].

Mutakhir. 2020. Vaksin Covid-19 dijangka siap awal. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543780/vaksin-covid-19-dijangka-siap-awal  [25 Mei 2020].

Sariha Mohd Ali. 2019. Vaksin Cegah Penyakit. BHOnline. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/12/638520/vaksin-cegah-penyakit  [26 Mei 2020].

Wikipedia. 2020. COVID-19 pandemic in Malaysia. https://en.wikipedia.org/wiki/COVID-19_pandemic_in_Malaysia [27 Mei 2020].

Worldometers. 2020. COVID-19 Coronavirus Pandemic. https://www.worldometers.info/coronavirus/ [27 Mei 2020].

World Health Organization. 2020. R&D Blueprint and COVID-19. https://www.who.int/teams/blueprint/covid-19 [28 Mei 2020].


TUGASAN VIDEO

https://youtu.be/8wWFIZnT5iA 

Wednesday, 3 June 2020

BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM)

BAHAN BANTU MEGAJAR (BBM)

Pinnggan Sihat (Suku Suku Separuh)


       

         Bahan bahan:

1.              - Kertas buangan

2.                    -  Gam

3.                    - Gunting

4.              - Kertas warna

5.                    - Pita pelekat

6.              - Pinggan kertas

7.                    -  Marker

                                                                             

 Cara cara:

      1.      Balut pinggan kertas dengan kertas warna.


      2.      Labelkan pinggan kepada beberapa bahagian dengan menggunakan marker. Suku pertama untuk karbohidrat, suku kedua untuk protein dan separuh untuk sayur sayuran dan buah buahan.


3.      Renyukkan dan gumpalkan kertas terbuang sehingga menjadi bentuk makanan karbohidrat, protein, sayur sayuran dan buah buahan.


4.  Balutkan gumpalan kertas dengan kertas warna.


5.      Balutkan gumpalan tersebut dengan menggunakan pita pelekat.

   6.  Balutkan kesemua bentuk sehingga menjadi begini dengan tujuan agar bentuk makanan tersebut tidak terkoyak atau rosak.

7.      Kesemua makanan untuk karbohidrat, protein, sayur dan buah telah tersedia.

8.      Makanan dan pinggan telah tersedia.



Letakkan makanan mengikut bahagian yang telah dilabelkan dengan betul ketika mengajar. Cara ini akan dapat memudahkan kanak kanak terutamanya dan orang lain untuk memahami apakah itu pinggan sihat serta dapat membantu untuk elakkan daripada obesiti.